Tuesday, 4 October 2005

DuLu KiNi SeLAmAnYa
...
Cuaca petang itu agak panas walaupun waktu sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Kereta yang dipandu oleh suamiku membelok ke perkarangan tempat letak kereta tidak jauh dari dewan besar.

Aku melihat ramai orang sedang duduk-duduk di rumput hijau atau di bawah pokok. Asalkan ada tempat redup, ada sahaja orang sedang melakukan aktiviti mereka sendiri. Ada yang berbual, ada yang melihat kerenah anak2, ada yang membaca suratkhabar dan macam-macam lagi. Tentu mereka semua ni di sini dengan tujuan yang sama dengan aku, bisik hatiku.

Aku berjalan beriring dengan suami yang menyorong stroller puteri sulong kami. Semakin hampir ke dewan, orang semakin ramai kelihatan. Kami berhenti di sebuah khemah yang sememangnya khas disediakan untuk tetamu pada hari itu.

Aku leka memerhatikan gelagat2 orang disekelilingku sambil sesekali melayan kerenah puteriku. Ketika itulah segerombolan manusia keluar dari dewan di hadapanku.

Aku hanya melihat, dan menunggu. Dalam ramai-ramai itu, aku menuju ke arah salah seorang dari mereka. Aku mendapatkan emak dan anak saudaraku yang turut keluar dari dewan tersebut.

Dari kejauhan, aku melihat seorang anak muda, datang ke arah tempat kami duduk. Apabila melihatnya, kenanganku terimbau ke zaman kecilku…..ketika itu aku masih di sekolah rendah…



Televisyen sedang menayangkan filem Indonesia, ‘Kau Tercipta Untukku’ lakonan Rano Karno dan Lydia Kandao. Aku dan kakak yang sememangnya meminati pasangan hero heroin itu begitu focus pada cerita tersebut apabila suara ibu menghentikan kaeasyikan kami.

“Nampak adik tak?” Pertanyaan emak menyedarkan kami yang adik yang berumur 6 tahun tidak bersama kami menonton filem di televisyen.

“Tak tau, ada kat luar tak” Aku menjawab sambil mata masih tidakl teralih dari kaca TV. Aku mendengar emak melaungkan nama adik berkali-kali sebelum datang semula ke kami dan berkata,

“Eh, jangan lah asyik tengok TV aje, sampaikan adik ke mana pun tak sedar” Aku tahu emak mula risau. Kakak sudah bangun dari kerusi dan berjalan keluar sambil melaungkan nama adik. Riak wajah emak menampakkan yang dia risau dengan ketiadaan adik di sekeliling rumah.

Aku bingkas bangun dari pembaringan. Dalam hatiku begitu berat untuk meninggalkan cerita kegemaranku. Emak mungkin perasan lantas menekan punat ‘off’ di TV jenama Singer pemberian kakak sulongku.

Emak sibuk ke bahagian depan dan belakang rumah sambil melaungkan nama adik. Begitu juga kakak. Namun kelibat adik tidak juga kelihatan. Ketika itu, kerisauan sudah bertandang dihatiku.

“Manalah adik kau orang ni” Emak sudah semakin risau. Sudah habis kawasan rumah dijenguknya. Di halaman, di bawah pokok manggis di tepi rumah dan di kolam di antara rumah aku dan nenek. Emak seakan-akan bimbang jika adik bermain-main seorang diri di kolam itu.

Jiran hadapan rumah sudah berkunjung kerana melihat kami semua di luar rumah sambil memanggil-manggil nama adik. Aku sudah mahu menangis kerana kelibat adik langsung tidak kelihatan. Ketika itu aku amat menyesal kerana tidak menghiraukan adik kerana leka dengan cerita Indonesia.

Kulihat emak sudah mengalirkan airmata. Jiran depan rumah turut sama mencari adikku dengan bertanya2 di rumah jiran-jiran lain. Aku sudah tidak boleh bersuara, sudah lemah sendi kakiku. Kebimbanganku membuatkan aku tidak mampu untuk berkata-kata, dan aku dapat merasakan rupaku pucat dan anggota badanku sudah menggigil.

Aku takut kehilangan adikku.

Hampir satu jam kami berkeadaan begitu, apabila tiba-tiba kelihatan kelibat dua orang kanak-kanak keluar dari kebun belakang rumah.

Kami semua menjerit kegembiraan melihat adik dengan langkah bersahaja berjalan ke arah kami. Aku lihat mukanya terpinga2 kehairanan. Emak terus meluru dan memeluk adik. Aku juga mahu berbuat begitu tapi aku hanya melihat dengan penuh kelegaan.

Setelah keadaan agak reda, barulah emak bertanya ke mana adik pergi. Adik memberitahu bahawa dia sebenarnya berjalan kaki melalui kebun belakang rumah untuk pergi ke kedai di kampong sebelah, bersama sepupu kami yang berumur 5 tahun. Emak memarahi adik kerana tidak memberitahu dahulu. Namun aku tahu, dalam kemarahan emak, terselit seribu kemaafan dan kesyukuran kerana tidak ada apa2 yang buruk berlaku kepada adik.

Dan pada ketika itu, perasaan geram pula terbit dalam hatiku. Tak pasal-pasal, aku dah terlepas cerita kegemaranku, aku berbisik sendirian. Namun, aku akui, adikku seorang itu berjuta kali lebih bermakna dari cerita Rano Karno itu.



Kini, di hadapan kami adalah insan yang sama yang pernah memberi kerisauan dan kebimbangan kepada aku.

Kini, kanak-kanak kecil yang membesar bersama-sama denganku, bertikam lidah, berebut barang permainan, bersama-sama terperangkap di dalam ribut puting beliung, dan banyak lagi yang tak dapat kuungkapkan di sini, adalah sama dengan pemuda yang menuju ke arahku
, sambil melambaikan tangan yang menggenggam segulung ijazahnya di Majlis Konvokesyen petang itu.

Untuk Midy, Sekalung tahniah dan semoga kejayaan terus menjadi milik kau dan kita semua.

Sampai sekarang aku teringin sgt nak tgk apalah agaknya kesudahan cerita Kau tercipta untukku tu.

5 comments:

  1. Tgazfa

    Aku dulu pun minat gak kat Rano Karno dan Lydia Kandou.....tapi satu tajuk cerita pun aku tak tau.....yang paling sadisnya, selalu menangis tengok cerita depa....huh sentimental betul la aku nih

    ReplyDelete
  2. Anonymous9:42 am

    budak: apa salahnyer sentimental...lumrah apa...err..aku pun hehehe

    ReplyDelete
  3. Anonymous11:02 am

    tahniah buat midy, sememangnya midy tu mmg tercipta utk fara :)

    ReplyDelete
  4. aritu...aku nak bagi komen tapi tak dpt....so...fara...ko ni ader talent jadi script writer tau

    ReplyDelete
  5. Anonymous3:46 pm

    ellyn: err...pelakon takbleh ke?

    ReplyDelete

Popular Posts