Monday, 14 September 2009

Sehari Bersama Anak-Anak Darul Izzah


Ya, Sabtu 12 Sep lepas, aku berpeluang untuk memijak kan kaki di asrama anak-anak yatim .. selepas almost 26 tahun. Perasaan? semestinya teruja dan terharu.


Asrama Anak-anak yatim Darul Izzah di bangi, adalah jauh sekali dari asrama anak-anak yatim yang aku pernah lawati di batu Pahat. Di sini, walaupun keperluan asasnya boleh dikatakan serba cukup, namun banyak perkara yang membuat hati diruntun sayu bila mata melihat. Tetapi sebenarnya, asrama atau rumah anak-anak yatim ini, sesempurna mana pun ia, tentu sekali sangat jauh berbeza daripada rumah dalam ertikata sebenar...


Asrama batu dua tingkat ini mempunyai kawasan lapang yang menghubungkan 2 bangunan yang dijadikan satu. Pada pengamatan aku, di sinilah segala aktiviti mereka dijalankan. Kawasan lapang inilah yang menjadi dewan besar untuk sebarang majlis yang berjalan di sini. Di kawasan lapang ini jugaklah kami akan bersama-sama meramaikan majlis Berbuka Puasa petang itu.


Beberapa orang kanak-kanak lelaki kulihat sedang lena di sofa-sofa yang disusun di tepi dinding. Sayu hati aku. Memanglah ada penyelia, tapi, apa sangatlah penyelia dibandingkan ibu bapa? Marah seorang penyelia walaupun setegas Kak Jie, tetap tidak sama dengan marah seorang ibu tatkala melihat anak bujangnya kembali tidur selepas matahari hampir naik. Sayang seorang penyelia tentu tidak akan sama dengan sayang seorang bapa yang mengejutkan anak-anaknya untuk diajak ke pekan atau bandar untuk membeli keperluan hari raya.


Aku terus melusuri sekitar asrama. Terdapat banyak kata-kata panduan, kata semangat, dan pelbagai hasil kerja tangan anak-anak di situ. Pelbagai doa di setiap sudut. Inilah rumah mereka. Rumah mereka yang lebih kuibaratkan seperti sekolah. Aku cuba bandingkan, adakah suasana di rumah aku seperti ini? adakah di setiap sudut rumahku ada tertampal "Ilmu Penyuluh Kehidupan?" dan "Budi Bahasa Budaya Kita"? Kata-kata itu sering wujud, tapi bukan dari pembacaan didinding, tapi dari mulut insan bergelar ibu dan bapa. Maaf, aku tidak boleh menolak dari membandingkan antara asrama yang dipanggil rumah, dengan rumah yang sebenar. Aku insaf.


Ketika penyelia mereka terjerit-jerit memanggil anak-anak turun berkumpul, hati rasa tersiat. Bukan salah Kak Jie. Dia hanya menyelia.. dia perlu adil, bertegas dalam semua hal. Anak-anak lelaki yang meningkat remaja, sangat sukar diuruskan. Syabas Kak Jie kerana berani memikul tanggungjawab besar itu.


Seramai 29 anak-anak berkumpul di hadapan kami. Mereka berusia semuda 8 tahun. Ketika umur itulah aku juga menjadi anak yatim. Dan aku percaya, seperti aku dulu, mereka juga tidak memahami erti anak yatim yang sebenar. Lebihnya mereka, mereka sudah berdikari, hidup di bawah ketiak orang lain. Sedang aku, lebihnya, aku bersama seorang ibu.


Ketika Wak memberi taklimat, ada anak-anak yg kulihat berwajah kosong. Tidak dapat aku selami apa yang bermain di fikiran mereka. Adakah mereka sudah terlalu biasa dengan keadaan ini? menerima pengunjung di hujung minggu, memberi kata-semangat dan sayang kepada mereka, memberi pelbagai sumbangan .. adakah mereka sudah terlalu biasa lantas tidak lagi teruja? Hmmm ... apalah sangat kunjungan kami, dibandingkan kasih sayang dari ibu bapa .. agaknyer itukah di dalam fikiran mereka .. terfikirkan itu, aku jadi segan ... segan untuk memberitahu, "Adik, kakak datang bawak sumbangan untuk adik .. semoga adik gembira selalu .." dan mengharap mereka menjawab, "terima kasih, kak"


Niat kami ikhlas.. menolong mereka. mereka jadi wakil untuk semua anak-anak yatim lain yang tidak dapat kami capai buat masa ini. Aku jadi bersemangat ... seperti semangatnya Wak dan rakan-rakan lain ketika kami sama-sama bersenam ringan memanaskan badan.


Suasana riuh seketika ketika pembahagian kumpulan dan tugas dijalankan. 4 kumpulan di bahagi berdasarkan 4 bilik anak-anak ini. Melihat keadaan bilik, sekali lagi aku tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaan aku. Sedih sekali dengan keadaan yang seakan terbiar begitu. Aku tidak pasti jika semua asrama lelaki, sememangnya begitu, atau kerana mereka ini di asrama anak-anak yatim? Aku tidak ada jawapan.Kami mula bersama-sama bergotong royong untuk memberikan keselesaan yang terbaik untuk anak-anak ini. Aku tahu walau selesa mana pun mereka di sini, tidak mungkin sama dengan keselesaan yang mereka kecapi andai mereka bersama keluarga yang menyayangi mereka sepenuh hati. Itu semua tidak menjadi penghalang kami. Kami mahu memberi yang terbaik, meskipun yang terbaik dari kami masih belum cukup baik untuk mereka. hanya Allah yang tahu.


Terjalin juga hubungan mesra seperti adik-kakak antara aku dan rakan-rakan dengan anak-anak ketika kami bekerjasama. Gurau senda mula kedengaran antara kami, tanda adik-adik atau anak-anak ini, tampak selesa dengan kami. Gurau mereka kadangkala tersasar dan mungkin boleh dianggap terlebih, namun jauh di sudut hati, aku berdoa semoga jati diri mereka kuat untuk mereka menempuh masa depan yang masih panjang. walau disiplin mereka ketika remaja mungkin agak menghampakan, semoga dengan kekuatan jati diri, aku pasti mereka boleh membawa diri dan berubah.

Di bilik 3 di mana Poii menjadi teraju utama kerja pembersihan, aku sempat bertanya soalan kepada seorang anak yang berada di tingkatan 2. Melihat saiz badannya, aku sangka dia berada dalam darjah 3 atau 4. Begitu kecil dah comel. Adik itu nampak pendiam.

"Adik darjah berapa?"
"tingkatan 2"
"Dah lama duduk sini?"
"dah"
"siapa hantar adik ke sini.."
"emak.."
"emak duduk mana"
"kampung"
"dengan siapa.."
"makcik"
"ada adik beradik lain?"
"ada adik-adik"
"adik-adik dengan emak ke.."
"tak, semua kat sini"

Sebak aku dengar .. tentu begitu getir kehidupan mereka anak beranak. Aku membayangkan kepayahan seorang ibu yang menumpang di rumah saudara dan terpaksa berpisah dengan anak-anak demi melihat anak-anak membesar dengan keadaan yang sempurna. Aku berdoa agar adik ini membesar sebagai insan yang berguna demi membela nasib keluarga. Tahniah Poii dan anak-anak di situ, kerana kejayaan bilik 3 menjadi johan bilik terbaik .. :-)


Di bilik yang aku, Mas dan Diana bekerja iaitu bilik 4, aku mengenali Daniel, Ariff, Mirza, Rezuan dan beberapa anak-anak lain. Alhamdulillah, dalam pada kerenah mereka yang sukar dijelaskan, mereka agak senang diajak berbual. Bilik 4 tidak memenangi bilik terbaik dari segi kebersihan .. namun aku gembira kerana berpeluang dekat dengan mereka. Semoga adik-adik dan anak-anak ini mempunyai masa depan yang cerah .. Amin.


Aku tidak dapat bersama-sama mereka ketika ceramah sebelum berbuka dijalankan lantaran mengambil suami dan anak-anak di rumah. Aku mahu mereka bersama-sama melihat dan merasai apa yang aku juga lihat dan rasai.


Di kawasan yang pagi tadi lapang, kulihat kini berwarna warni dengan kehadiran rakan-rakan rebanamaya dan rakan-rakan pembaca setia blog Joe yang mahu turut sama memeriahkan majlis berbuka puasa bersama adik-adik dan anak-anak kami ini. pakaian berwarna warni memenuhi segenap dewan. Meja sudah terhidang dengan menu menunggu masa untuk azan berkumandang. Usai azan, Pengerusi majlis saudara Razi menjemput semua untuk sama-sama berbuka ringan sebelum beramai-ramai mengerjakan solat maghrib secara berjemaah. Begitu harmoni ketika ini.


Majlis berjalan lancar dengan acara-acara yang segar. Doktor Nabil, seorang yang berjiwa murni kerana menubuhkan Rumah Darul Izzah ini. Terima kasih doktor.


Sehari bersama anak-anak darulizzah, membawa pengertian yang dalam pada diri aku. Yang pasti, aku memohon daripada Allah SWT, agar berikanlah anak-anak ini kebijaksanaan aka dan fikiran agar segala kasih sayang orang ramai kepada mereka tidak tersia .... Aku bangga sekiranya satu hari nanti, mereka juga lah yang bersama-sama kami di rebanamaya, menyambung aktiviti2 seperti ini ... dan mereka lah yang turut berjuang untuk anak-anak lain yg senasib dengan mereka ...


Kepada rakan-rakan rebanamaya, dan juga yang baru saja menyertai kami, jutaan terima kasih di atas keperihatinan kawan-kawan untuk anak-anak yang nasibnya tidak sebaik kita ...


Kepada semua penderma yang sangat bermurah hati ... andalah tunggak kejayaan semua ini .. you know who you are ... hanya Allah dapat membalas ...


Aku sendiri, sangat memohon dari Allah, agar aku dan suami diberikan kesihatan dan umur yang panjang agar dapat membesarkan anak-anak .. kerana aku belum sanggup untuk melihat anak-anak aku berada di tempat mereka .. Ya Allah, semoga diperkenankan do'a hambamu yang hina ini


Amin.



Update lain:-
Mas --> http://bilajarimenaip.blogspot.com/
Diana --> http://didiesierra.blogspot.com/
Delinn --> http://myramblings-la.blogspot.com/
Angah --> http://chapterbaru/blogspot.com/
Ima --> http://cindataman.blogspot.com/


Lain2 lom apdet
Sempoii
Budak
Frappe
Deo
Wak
Jijo
Yam


5 comments:

  1. [hujan lebat di depan laptop di pagi hari]

    semoga keinsafan ini kekal di dalam hati.

    ReplyDelete
  2. Anonymous9:11 am

    ala kena hapdet gak ke ni..
    sob sob cari tisu

    ojij

    ReplyDelete
  3. bilik 3 ke yg menang kak fara?alaaa..hehe yelah nk harap bilik kita baru 5minit cadar baru dipasang budak2 tu dh lenjan cam belacan dah! heheehe

    ReplyDelete
  4. Asrama budak laki tak la seteruk macam bilik asrama depa ni..Sebab kalau dekat asrama biasa, at least hujung minggu mesti ada inspection kebersihan bilik..

    ReplyDelete
  5. salam fara...

    terjumpa blog kau... good story, menginsafkan...

    selamat hari raya! maaf zahir batin

    ReplyDelete

Popular Posts